Assalamualaikum..
Segala puji bagiNya Tuhan Semesta Alam..
Allah berfirman,
"Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa."
(al-Baqarah: 2)
Taktala menekan butang 'Browse' untuk mencari bahan untuk assignment, mata ini tertarik pada satu blog yang membicarakan tentang Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar Rasululllah swt. Mari sama-sama menghayati tazkirah ini..
Kehebatan al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat sebagai petunjuk kepada manusia bukanlah rahsia. Namun, masih ramai yang tidak mahu menjadikannya sebagai panduan hidup. Persoalan mula timbul di fikiran masing-masing, mengapakah perkara ini terjadi?
Allah sebagai pencipta makhluk termasuk manusia sudah tentu arif dan amat mengetahui apakah keperluan manusia. Sebab itu kita perlu menjadikan al-Quran sebagai manual kehidupan. Manusia yang semata-mata bergantung kepada logik akal tidak semestinya akan betul.
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir Al-Munir, hidayah atau petunjuk Allah ada lima tingkatan. Inilah yang selalu kita baca dalam al-Fatihah iaitu “Ihdinas siratal mustaqim” (tunjukilah kami jalan yang lurus).
1)Petunjuk naluri yang sama-sama dimiliki oleh manusia dan juga haiwan. Contohnya, apabila lapar, bayi akan menangis.
2)Petunjuk perasaan. Contohnya, bayi atau kanak-kanak apabila dimarah mereka akan berkecil hati.
3)Petunjuk akal fikiran. Tetapi ia tidak semestinya betul kerana akal kita tidak dapat menjangkau perkara yang ghaib.
4)Petunjuk agama sebagai panduan dengan al-Quran sebagai kitab yang mengandungi petunjuk, cahaya dan hidayah.
5)Taufik iaitu supaya kita sentiasa konsisten berada di dalam petunjuk Allah. Dengan taufik ini, graf iman kita akan bertambah dari hari ke hari. Untuk mencapai tahap ini memerlukan kepada ilmu dan penghayatan terutama ilmu bersumberkan al-Quran dan sunah.
Akal manusia ada hadnya di mana kita tidak mampu melihat kenikmatan syurga atau pun azab neraka Allah. Demikian juga aliran elektrik di dalam wayar. Kita tidak dapat melihatnya tetapi ia ada. Sebab itu, tidak mesti benda yang tidak nampak oleh mata kasar itu tidak ada.
Persoalannya yang lain mula timbul,bagaimanakah pula untuk menjadikan manusia ketagih membaca al-Quran?
Kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Demikianlah ibaratnya kita dengan al-Quran. Nampak macam dekat tetapi sebenarnya al-Quran jauh dari kita.
Kita membaca al-Quran tetapi tidak ramai yang memahami tafsirannya secara betul atau mengenali al-Quran dalam erti kata sebenar. Oleh sebab itulah, Al-Imam Al-Zamakhzyari mengatakan belajar tafsir al-Quran untuk benar-benar memahaminya adalah fardu ain. Hakikatnya, sesiapa yang mendampingi kitab suci ini dalam erti kata memahaminya akan merasai ia sesuatu yang tidak akan habis digali.
Ramai tidak ketagih membaca dan menghayati al-Quran disebabkan kita gagal mencontohi kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah.
Baginda mengamalkan empat cara di dalam membawa al-Quran kepada generasi sahabat iaitu;
a)Tilawah, iaitu membaca secara betul dan bertajwid kepada para sahabat
b)Menafsirkan ayat supaya tidak ada lagi keraguan
c)Menyuruh sahabat mengamal/menghayati ayat tersebut, dan
d)Menyuruh mereka menghafalnya.
Pendek kata, kombinasi empat perkara ini mampu melahirkan insan yang berperibadi al-Quran.
Kesilapan kita sekarang adalah tumpuan yang berlebihan mempelajari ilmu tajwid sahaja atau mempelajari tafsir tetapi mengabaikan kepentingan tajwid atau menghafal tanpa memahami al-Quran.
Wallahualam..